Apa itu MEROYAN??

Posted on Posted in Hamil & Berpantang

meroyan

Dalam bidang perubatan, gangguan perasaan selepas bersalin dikelaskan kepada tiga peringkat mengikut tahap keterukannya iaitu postpartum blues, postpartum depression (kemurungan) dan postpartum psychosis (gila meroyan).

Walaupun tiada bukti klinikal yang mengkaitkan cara berpantang tradisional dan gangguan psikologi seperti meroyan, banyak penelitian dan pengalaman menunjukkan wujudnya kesan positif bagi ibu-ibu muda yang mengamalkan cara berpantang tradisional selepas melahirkan.

Amalan tradisi ini mampu mengurangkan risiko kemurungan dan penyakit gila meroyan (postpartum pyschosis).

TEKANAN PERASAAN (postpartum blues)
Postpartum blues adalah masalah perubahan emosi yang normal dan tidak serius. Ia kerap berlaku kepada wanita selepas bersalin. Perubahan emosi ini memuncak pada hari ketiga hingga kelima selepas bersalin.

Ia akan berkurangan selepas lebih kurang 10 hari bersalin dan akhirnya emosi mereka kembali kepada sediakala. Ia boleh berlaku selepas kelahiran pertama dan seterusnya kerana setiap kelahiran adalah berbeza.

Ibu-ibu yang mendapat perubahan emosi ini mudah merasa penat dan keletihan.

KEMURUNGAN (postpartum depression)
Gejala kemurungan selepas bersalin pula adalah gangguan psikologi yang perlu mendapat rawatan pakar. Ia merupakan gejala gangguan psikologi yang lebih teruk dan mendatangkan kesan buruk kepada ibu dan bayi yang baru dilahirkan.

Kemurungan lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga selepas setahun kelahiran anak.
Malah ia boleh juga berlaku selepas keguguran atau kematian bayi dalam kandungan.

Ibu-ibu yang menghidap kemurungan selepas bersalin mengalami perubahan emosi yang lebih teruk dan lama berbanding perubahan emosi pada postpartum blues.

MEROYAN (postpartum pyschosis)
Gila meroyan merupakan peringkat gangguan psikologi paling teruk dan serius yang berlaku selepas bersalin. Seseorang wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.

Mujurlah keadaan ini hanya dialami oleh sebilangan sahaja kepada wanita selepas bersalin.Biasanya bermula tiga hingga lima hari selepas bersalin. Dua pertiga daripada pesakit, mengalami meroyan dalam tempoh dua minggu pertama selepas kelahiran dan boleh berlanjutan sehingga satu atau dua tahun selepas bersalin.

Antara tanda yang menunjukkan berlakunya gejala meroyan adalah:

⚡Bermula dengan gangguan emosi seperti perasaan resah dan tidak tenang.
⚡ Tidak dapat cukup tidur walaupun bayi tidur lena.
⚡ Sering merasa keletihan.
⚡ Mengalami emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah.
⚡ Terdapat tempoh kemurungan atau kesedihan yang melampau dan sering menangis.
⚡ Mula mempunyai perasaan ragu-ragu, bercelaru, bercakap merapu dan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras.
⚡ Mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusi.
⚡Ada kalangan pesakit yang beranggapan bahawa bayinya cacat walaupun sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anak mereka, bayi yang dilahirkan membawa sial dan sebagainya.
⚡Sebahagian daripada mereka mengalami gangguan halusinasi dengan mendengar suara-suara ghaib yang kadang-kadang memburukkan mereka, menyuruh pesakit membunuh bayi dan sebagainya.
⚡Tidak mahu menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut dan ada yang mencuba membunuh bayi mereka sendiri.
Walaupun peratusan wanita lepas bersalin mengalami gejala meroyan adalah rendah, ianya adalah perkara serius dan perlu diambil perhatian oleh semua pihak terutamanya oleh ahli keluarga terdekat.

Penjagaan pantang yang betul perlulah diamalkan. Amalan gaya hidup sihat, berfikiran positif dan sokongan kuat daripada ahli keluarga juga perlu dititikberatkan.

 

Sumber rujukan:

Arkib Utusan Malaysia 13 May 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *